Ahmad Ismail


“SAYA mendapat tahu kemalangan meragut nyawa adik, isteri dan tiga anak mereka melalui gambar yang tular di Facebook (FB) semalam.” kata Nizamudin Dzulkarnain, 31, abang kepada Muhamad Abu Dujanah Dzulkarnain, 30, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru - Seremban berhampiran persimpangan Melayu Raya, Segamat, 6 petang semalam.

Menurut Nizamudin, dia terkejut apabila melihat gambar kemalangan Perodua Viva adiknya dengan bas ekspres dan menghubungi ibunya tetapi tidak dapat kepastian dan kesahihannya lagi.

"Ibu sendiri tidak menerima berita kemalangan itu. Oleh itu saya hubungi Balai Polis Segamat dan akhirnya mendapat pengesahan kejadian yang menimpa keluarga adik saya," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Segamat hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika Muhamad dalam perjalanan pulang ke Kluang selepas menjemput isterinya, Zinnirah Abdul Hamid, 28, habis berpantang di rumah mentua di Muadzam Shah, Pahang.

"Keluarga menanti kepulangan mereka di Kluang. Tetapi menyedihkan mereka terbabit kemalangan dan kami menyambut jenazah mereka pula," katanya.

Katanya, Muhamad yang juga anak kedua daripada 11 beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah beberapa hari lalu sebelum bertolak ke Muadzam, mereka sempat ke Kuala Lumpur.

Dalam kejadian itu, anak sulung pasangan itu, Nur Maghfirah, 6, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat bersama adiknya, Muhammad Abu Ajwad, 4. Manakala bayi yang juga anak bongsu, Nur Alia Humairah, tiga bulan, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat.

Anak ketiga pasangan berkenaan, Nur Ghaziyah Athirah, 3, masih dalam keadaan kritikal dan mendapatkan rawatan di hospital sama.

Jenazah lima beranak berkenaan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan Kluang selepas Zohor hari ini.

Berita berkaitan

Ya Allah, ampunilah, rahmatilah mereka...

Lima sekeluarga ajal bersama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 2:35 PM