WARGA Vietnam, Nguyen Thanh Thai, 34, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas didapati bersalah memberi suapan kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). STR/FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


TAUKE bot Vietnam dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan memberi suapan RM1,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh, Nguyen Thanh Thai, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada ejen Kerajaan Malaysia iaitu Kepten (M) Robert Teh Geok Chuan yang bertugas di KM PEKAN, Daerah Maritim 8, Indera Mahkota, Kuantan di dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM), pada 8.50 pagi, 22 November lalu.

Suapan itu sebagai dorongan untuk melepaskan bot nelayan nombor pendaftaran KG 90658 TS daripada ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, APMM yang melakukan rondaan menahan bot nelayan.

Hasil pemeriksaan mendapati bot itu gagal melaporkan ketibaan kepada Jabatan Perikanan Malaysia ketika memasuki perairan Malaysia yang menjadi kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

Ketika itu, suspek memberi sejumlah wang sebanyak RM1,000.00 supaya tidak mengambil tindakan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 4:03 PM