Dzulkirnain (tengah) bersama isteri, Zaiton Othman menyiram air mawar di pusara anak mereka, Allahyarham Muhamad Abu Dujanah dan isterinya, Allahyarhamah Zinnirah Abdul Hamid, 28, serta tiga anak mereka, Nur Magfirah, 6, Muhammad Abu Ajwad, 4, dan Nur Alia Humairah, 3 bulan, di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan, Kluang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohamad Fahd Rahmat


NUR Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 3, yang mengalami pendarahan di otak kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Datuknya, Dzulkirnain Yusoh, 55, berkata, cucunya itu turut patah pinggul dan kedua-dua kakinya selain mengalami pendarahan dalaman dan memerlukan pembedahan.

“Saya sedih sangat atas apa yang berlaku tetapi kita reda dan berserah kepada Tuhan.

“Cucu saya berada di HSA selepas dipindahkan dari Segamat, hendak kata 50-50 (peluang sembuh) tidaklah tetapi bergantung kepada kekuatannya kerana dia seorang sahaja yang hidup, bermakna kuat hentaman (kemalangan) dan jika ada rezeki, dia panjang umur,”€ katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan, Kluang, hari ini.

Katanya, sebelum kejadian, mereka pergi ke Kuala Lumpur dan berpisah di Sungai Besi sebelum anaknya itu ke Muadzam Shah, Pahang untuk ke rumah ibu mentuanya.

“Petang sebelum kejadian, arwah ada menelefon ibunya dan kami menerima berita kematian kira-kira 7 malam menerusi Facebook menyebabkan kami menelefon balai polis dan mereka mengesahkannya.

“Tak nampak perubahan tetapi ada kawan-kawannya yang perasan arwah menyatakan ghairah sangat mahu ke Kuala Lumpur kerana kebiasaannya dia tidak begitu dan bersikap tenang,” katanya.

Menurutnya, dia berharap cucunya yang terselamat itu pulih seperti sedia kala dan akan menjaganya selepas mencapai persetujuan bersama besannya.

“Saya sudah berbincang dengan besan dan kami bersetuju saya yang menjaga cucu kerana dia satu-satunya waris yang terselamat,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah lima beranak yang maut akibat kemalangan membabitkan Perodua Viva dan bas ekspres di Segamat, kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan pada 2.35 petang.

Jenazah Muhamad Abu Dujanah disemadikan bersama isteri dan tiga anaknya dalam satu liang lahad.

Berita berkaitan

Dapat tahu kehilangan adik melalui FB

Ya Allah, ampunilah, rahmatilah mereka...

Lima sekeluarga ajal bersama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 4:49 PM