Noormazida dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM1.075 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan menipu tuntutan pembekalan telur dan susu bernilai RM211,646 kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


SEORANG wanita menangis sebaik Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM1.075 juta atas pertuduhan menipu tuntutan pembekalan telur dan susu bernilai RM211,646 kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Bukan itu saja, Noormazida Mukhtar, 28, pembantu tadbir di Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ turut berdepan hukuman penjara enam tahun lagi sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh berdepan empat pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan palsu bagi pembekalan telur ke Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ, yang mana pembekalan itu sebenarnya tidak berlaku.

Empat tuduhan itu ialah mengemukakan empat dokumen tuntutan palsu melalui Pesanan Kerajaan pada Februari dan Jun lalu masing-masing bernilai RM23,500, RM29,845, RM32,385 dan RM27,336.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu melalui Pesanan Kerajaan, masing-masing bernilai RM49,290 dan RM49,290 pada Jun dan Julai lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohamad Haldar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM250,000.

Mohamad Haldar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM120,000 serta penjara dua tahun dan denda RM150,000 bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, Mohamad Haldar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM165,000 serta penjara dua tahun dan denda RM140,000.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua tahun penjara bagi setiap pertuduhan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak manakala hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga dan keempat berjalan serentak selepas tamat hukuman sebelumnya diikuti pertuduhan kelima dan keenam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mahadi Abdul Jumaat manakala tertuduh diwakili peguam, Kamaruzaman A Wahab.

Sementara itu, suami tertuduh, Mohd Fikri Izani, 26, yang bekerja sebagai Pengurus KAB Adil Resources yang sebelum ini didakwa bersama tertuduh dibebaskan selepas mahkamah membatalkan semua pertuduhan terhadapnya.

Selain itu, segala harta milik pasangan berkenaan termasuk wang tunai di beberapa bank, rumah yang dalam pembinaan, motosikal Honda Wave dan barangan kemas yang bernilai RM149,877.96 dilucutkan hak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 5:33 PM