Izlaily Nurul Ain Hussein


MAYAT mangsa kedua bot karam di perairan Batuan Tengah, Kota Tinggi, sudah ditemui di perairan Lagui, Pulau Bintan, Indonesia, hari ini.

Mayat Tan Soon Heng, 35, ditemui pihak berkuasa Indonesia pada 1.20 petang di perairan itu di kedudukan kira-kira lapan batu nautika dari lokasi bot dilaporkan karam.

Terdahulu, mayat pertama yang disahkan sebagai Chang Chong Kuok, 51, ditemui terdampar di Pantai Tanjung Berakit, pulau berkenaan oleh pihak berkuasa Indonesia pada 1.30 petang semalam, kira-kira 10 batu nautika dari lokasi bot karam dilaporkan.

Jarak antara kedua-dua mayat mangsa ditemui pula adalah kira-kira 13 batu nautika.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, kedua-dua mayat mangsa yang berasal dari Johor Bahru itu dibawa ke Hospital Bhayangkara Polda, Batam, Indonesia, untuk tindakan lanjut.

"Mayat sudah disahkan oleh ahli keluarga mangsa dan kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi proses membawa pulang mayat yang dijumpai itu ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR yang dilancarkan sejak kejadian itu Ahad lalu membabitkan bot Penggalang 15 dan Petir 10 dari APMM, KD Handalan dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) dan sebuah helikopter dari Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan keseluruhan pasukan menyelamat seramai 55 orang.

Katanya, kawasan operasi SAR banyak tertumpu di perairan Pengerang di sini, sehingga Batuan Tengah dengan keluasan 150 batu nautika persegi.

"Kita mendapat kerjasama dari pihak berkuasa Indonesia dan Singapura yang turut membuat pencarian di perairan negara masing-masing bagi membantu mengesan mangsa," katanya.

Berita berkaitan

Mayat pemancing ditemui

Dua pemancing dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 5:53 PM