Anggota bomba membawa mayat kanak-kanak berusia 12 tahun ke Stulang Laut, pagi tadi bagi tujuan pengecaman waris. Foto ihsan bomba
Rudy Fazrunisyam Samarudin


MAYAT kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang terjatuh ke Sungai Plentong dekat Kampung Sri Makmur, Plentong, Johor Bahru, kelmarin dijumpai, 10.20 pagi hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Mohd Anuar Amdzah berkata, mayat Muhammad Fareezuan Anuar ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di bawah jambatan Permas Jaya, kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Mayat dibawa ke Stulang Laut untuk pengecaman oleh waris sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya.

Mangsa dikatakan memancing di lokasi berkenaan bersama lapan rakan dan adiknya.

Dia dilaporkan cuba menyelamatkan adiknya yang jatuh ke dalam sungai pada 3.30 petang.

Difahamkan mereka cuba meniti benteng air di lokasi berkenaan untuk menyeberang sungai sebelum terjatuh ke dalam sungai apabila ‘kepala air’ datang secara tiba-tiba.

Adiknya terjatuh dan berpaut pada besi sebelum Muhammad Fareezuan cuba menyelamatkannya.

Muhammad Fareezuan pula bagaimanapun gagal diselamatkan rakannya.

Kejadian berlaku di sungai yang terletak kira-kira kira 300 meter dari rumah mangsa.

Berita berkaitan

Fareezuan selamatkan adik sebelum hanyut

Budak 12 tahun dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 2:47 PM