SEBAHAGIAN mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud dihantar pulang ke kampung masing-masing di Kota Belud. FOTO Ihsan APM
Recqueal Raimi


JUMLAH mangsa banjir di Kota Belud menurun kepada 595 orang sehingga 8 malam hari ini, berbanding 970 orang pada 2 petang tadi.

Penurunan jumlah terbabit disebabkan banjir di daerah ini semakin surut, justeru tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Belud ditutup, hari ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, sehingga kini dua lagi PPS yang masih dibuka menempatkan 248 keluarga iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 2 dan Dewan Sekolah Menengah (SM) Agama Tun Said.

Katanya, ia susulan selepas Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud turut ditutup secara rasmi 6.30 petang tadi dan seramai 375 mangsa banjir dihantar pulang ke kampung masing-masing.

"Pada masa sama, 17 mangsa banjir dari PPS itu dipindahkan ke Dewan Sekolah Menengah (SM) Agama Tun Said.

"Sebelum itu juga, APM menghantar 633 penduduk pulang ke kampung masing-masing selepas Dewan Masyarakat Tun Said dan Kompleks Sukan Botung ditutup secara rasmi pada 1.30 tengah hari tadi," katanya dihubungi hari ini.

Mohd Izaimi berkata, anggota APM dengan kerjasama agensi lain masih giat memantau kawasan bagi mengenal pasti penduduk boleh dihantar pulang.

"Setakat ini, cuaca kembali hujan semula di Kota Belud dan jika cuaca tidak mengizinkan, kita akan terus membuka PPS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 9:13 PM