ZULKIFLI menaiki Kapal Peronda PT2 ketika melakukan lawatan kerja ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pelabuhan Klang.
Siraj Mohd Zaini


Pelabuhan Klang: Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan penambahan aset Pasukan Polis Marin (PPM) seiring dengan cabaran bagi membanteras jenayah rentas sempadan khususnya membabitkan kawasan perairan negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, PPM berdepan kekangan dalam aspek penguatkuasaan berikutan kekurangan beberapa aset penting termasuk bot bersaiz besar.

Beliau berkata, meskipun kawasan wilayah di bawah kendalian PPM membabitkan 12 batu nautika saja, bot berkenaan dapat digunakan bagi membantu penugasan lebih lama di lautan terutama di perairan Sabah yang sering dijadikan lokasi tumpuan jenayah.

“PPM kekurangan aset seperti ini yang mana ia diperlukan dan dapat memperkasakan peranan pasukan ini membanteras kegiatan jenayah di perairan negara.

“Cadangan dihantar ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan berharap ia dapat diluluskan segera,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas PPM Pelabuhan Klang di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am) KDNKA Bukit Aman, Datuk Abd Aziz Yusof dan Komander PPM Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Abdullah.

Dari Januari sehingga November lalu, PPM membuat tangkapan terhadap 4,000 pesalah jenayah membabitkan nilai rampasan lebih RM77 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:18 AM