Ayusliza Azizan


Shah Alam: Polis menjalankan siasatan secara menyeluruh membabitkan semua aspek bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian kes bunuh dan bakar yang mengorbankan dua warga emas dan dua kanak-kanak di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat Kuala Langat awal pagi kelmarin.

Ia termasuk kemungkinan mangsa mengenali individu yang terbabit dalam kejadian itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, polis juga mencari petunjuk khusus merangkumi semua sudut berkaitan.

“Siasatan masih dijalankan dan kita percaya dapat selesaikan kes ini dalam masa terdekat.

“Buat masa ini belum ada tangkapan dibuat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pencegahan Kecurian Kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) di sini, semalam.

Mazlan berkata, pihaknya juga masih menunggu keputusan laporan bedah siasat untuk mengenal pasti sama ada mangsa mati dibunuh sebelum kebakaran atau sebaliknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam, mangsa Lim Mai Shak, 68, Chia Tee Nang, 73, dan dua cucu mereka iaitu Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi berusia tiga dan 10 tahun maut dalam kejadian itu.

Pemeriksaan mendapati tiga daripada empat mangsa yang rentung mempunyai kesan tetakan senjata tajam pada tubuh mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:23 AM