Mazlan (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa Ketua Polis Daerah Kuala Selangor antara Ruslan dan Mohd Asri (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor, hari ini. FOTO Faiz Anuar
Mazlan (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa Ketua Polis Daerah Kuala Selangor antara Ruslan dan Mohd Asri (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor, hari ini. FOTO Faiz Anuar
Fuad Hadinata Yaacob


LELAKI Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan awal pagi tadi di Kepong bagi membantu siasatan berhubung kes empat sekeluarga maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Rabu lalu.

Individu berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Pusat Kepong pada 1 pagi, hari ini, oleh sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan awal mendapati lelaki kategori cacat pendengaran dan pertuturan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, lelaki itu bekerja di sebuah kilang perabot di Kepong.

"Siasatan mendapati suspek adalah teman lelaki kepada anak bongsu mangsa berusia 30 tahun.

"Dipercayai suspek bertindak sendirian dalam kejadian ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah IPD Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Abdul Wahab memangku jawatan Ketua Polis Daerah menggantikan Superintendan Ruslan Abdullah yang bersara wajib.

Mengulas lanjut kejadian itu, Mazlan berkata, masalah kewangan dipercayai menjadi punca kejadian berkenaan.

"Kita percaya suspek mempunyai hutang sehingga dipercayai mendorongnya melakukan perbuatan khianat itu.

"Sebelum kejadian, berlaku pertelingkahan di rumah itu," katanya.

Mazlan berkata, selepas kejadian itu, suspek mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berikutan mengalami kecederaan.

Katanya, suspek direman tujuh hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mazlan berkata, dengan penahanan suspek, pihaknya percaya kes itu selesai.

Mengenai laporan bedah siasat mangsa, Mazlan berkata, pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada Hospital Banting.

Dalam kejadian 6.30 pagi, Rabu lalu, satu keluarga membabitkan dua warga emas dan dua kanak-kanak maut dipercayai dibunuh dan dibakar.

Mangsa ialah Lim Mai Shak, 68, Chia Tee Nang, 73, dan dua cucu mereka, Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi masing-masing berusia tiga dan 10 tahun.

€ŽDifahamkan, seorang cucu mangsa berusia 12 tahun yang juga abang kepada Ryan Chia terselamat kerana menyorok di dalam bilik air sebelum meloloskan diri ke luar rumah.

Berita berkaitan

Dua budak lelaki antara 4 terbunuh

Mangsa dibunuh sebelum rumah dibakar

Masih menunggu laporan bedah siasat'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 2:31 PM
Kabinet Malaysia 2020