Mangsa banjir dihantar pulang ke rumah masing-masing menggunakan trak ATM dan APM.
Recqueal Raimi


BANJIR di Kota Belud pulih sepenuhnya apabila 595 mangsa banjir yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, hari ini.

Penduduk dibenarkan pulang mulai pagi selepas keadaan cuaca bertambah baik.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, PPS di Dewan Sekolah Menengah (SM) Agama Tun Said ditutup pada 12.30 tengah hari.

Katanya, PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi II pula ditutup pada 2.10 petang.

"Mangsa dihantar pulang ke kampung masing-masing menggunakan trak APM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Semua kawasan termasuk kampung dan laluan yang sebelum ini terjejas banjir pulih sepenuhnya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pusat Kawalan Operasi Bencana di Kota Belud ditutup sepenuhnya pada 2.25 petang.

Banjir melanda daerah ini sejak 11 Disember lalu menyebabkan 1,829 orang dipindahkan ke lima PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:25 PM