Orang ramai yang menyertai perarakan ke Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ASYRAF HAMZAH
Mohd Azam Shah Yaacob


KIRA-kira 500 rakyat negara ini serta luar negara berarak di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dekat Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat hari ini membantah tindakan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Perarakan bermula dari ibu pejabat Tabung Haji kira-kira jam 2 petang disertai wakil badan bukan kerajaan (NGO), kepimpinan parti politik serta rakyat Palestin di negara ini.

Tinjauan mendapati, perarakan diadakan secara aman dan dipantau polis yang mengawal lalu lintas serta memastikan peserta perhimpunan tidak menghampiri kawasan pintu hadapan kedutaan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, pihaknya menyertai perhimpunan itu untuk kali kedua bagi menyatakan solidariti serta sokongan terhadap perjuangan Palestin.

“Tak siapa penganjur mahupun peserta, tujuan kita untuk bersatu mempertahankan Baitulmaqdis dan Masjidil al-Aqsa.

“Perarakan ini sebagai mesej jelas bahawa rakyat negara ini tanpa mengira perbezaan politik, menentang sekeras-kerasnya tindakan Trump serta Israel,” katanya berucap di depan Kedutaan Amerika.

Sementara itu, sukarelawan kapal misi bantuan Palestin MV Mavi Marmara, Hasanuddin Mohd Yunus, yang turut serta dalam perarakan itu berkata, perjuangan menegakkan keadilan di bumi Palestin perlu dijadikan agenda sejagat dengan menolak perjuangan peribadi.

Peserta perarakan bersurai kira-kira 3.30 selepas berhimpun lebih sejam di hadapan Kedutaan Amerika tanpa kekecohan atau kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 6:38 PM