Skip this ad x
400 penduduk menyertai bantahan aman tindakan Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel di pekarangan Masjid Al-Itqan Mukim Telaga Bata, Tumpat hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KIRA-kira 400 penduduk Kampung Telaga Bata dan Nechang, berhimpun di pekarangan Masjid Al-Itqan, Mukim Telaga Bata, Tumpat, menyatakan bantahan terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, 6.30 petang tadi.

Imam Masjid Mukim Bunohan, Ismail Yaakob, 51, berkata, tujuan perhimpunan diadakan kerana mahu menzahirkan rasa tidak setuju terhadap tindakan Trump yang cuba mengapi-apikan kemarahan masyarakat Islam seluruh dunia.

"Setiap malam kami di sini mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin dan memohon agar mereka diberi keberkatan dan kekuatan dari Allah SWT.

"Kita tidak mampu bersama mereka jadi, kami berkumpul menzahirkan bantahan terhadap tindakan Amerika Syarikat," katanya.

Terdahulu, penduduk terbabit berarak sejauh 500 meter sempena sambutan Maulidur Rasul dengan kerjasama Yayasan Al-Busyra.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Al-Busyra, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, selagi Baitulmaqdis tidak dibebaskan, umat Islam perlu menzahirkan penentangan terhadap tindakan Amerika Syarikat.

"Akibat tindakan itu juga pertumpahan darah berlaku di Palestin dan ramai umat Islam yang tidak bersalah terkorban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 9:15 PM