MERBIN (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas, semalam.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Padawan: Sindiket ‘bomoh seberang laut’ yang aktif melakukan penipuan dengan pelbagai dakwaan karut membabitkan ilmu hitam dikesan mengaut keuntungan hasil kegiatan haram itu mencecah puluhan ribu ringgit sejak beberapa bulan lalu.

Terbaru, sindiket didalangi dua lelaki dan tiga wanita dari Indonesia dan China berusia 27 hingga 50 tahun itu memperdayakan seorang suri rumah sehingga mangsa kerugian RM14,000, Isnin lalu.

Modus operandi ‘bomoh’ berkenaan dengan mendekati mangsa berusia 58 tahun itu di pekan Siburan sebelum memperkenalkan diri dan mendakwa anak lelaki wanita terbabit bakal ditimpa kemalangan namun menawarkan perkhidmatan untuk ‘memulihkan’ musibah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, mangsa yang ketakutan selain percaya dengan dakwaan suspek bersetuju menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai RM14,000 kepada sindiket ‘bomoh sebagai sebahagian ritual perubatan.’

Menurutnya, suspek kemudian membungkus wang dan barang kemas mangsa di dalam satu bungkusan namun menyerahkan bungkusan yang hampir serupa sebelum meminta mangsa membukanya Rabu lalu.

“Mangsa yang berasa lega kerana rawatan itu ‘berjaya’ kemudian membuka bungkusan yang diberikan suspek untuk mengambil semula wang dan barang kemasnya namun terkejut selepas mendapati hanya terdapat botol mineral dan keratan surat khabar di dalamnya.

“Menyedari dirinya diperdaya ‘bomoh’ berkenaan menyebabkan suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk membuat laporan Rabu lalu bagi tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di IPD Padawan di sini, semalam.

Merbin berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, polis menjejaki suspek di sebuah rumah di Taman Stampin Tengah, di Kuching empat jam kemudian berdasarkan pengesan lokasi global kenderaan yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 8:15 AM