KETUA UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi (kanan) meraikan sambutan hari jadi dan sumbangan kepada Muhammad Faris Arsyad (enam dari kiri).
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Bukit Mertajam: “Dia tidak suka mendengar orang lain berbual mengenai penyakitnya,” kata seorang wanita mengenai anaknya yang menghidap kanser buah pinggang sejak lima tahun lalu.

Salamiah Abdullah, 37, berkata, anak keempat daripada lima beradik Muhammad Faris Arsyad Azmi, 6, kini hanya bergantung hidup pada sebahagian buah pinggang kirinya selepas menjalani pembedahan pada Januari 2013.

Katanya, sebelum itu, buah pinggang kanan terpaksa dibuang pada November 2012 akibat ketumbuhan.

Menurutnya, kanser itu menyebabkan tumbesaran Muhammad Faris terbantut apabila saiz tubuh badannya kecil seperti kanak-kanak berusia tiga tahun walaupun dia berusia enam tahun.

“Emosinya cukup sensitif tambahan pula apabila bersembang mengenai kanser yang dihidapinya pasti dia merajuk dan saya perlu mengambil masa untuk memujuknya.

“Adakalanya dia tidak mahu ke hospital untuk menjalani rawatan sehinggalah saya dan suami (Azmi Che Man, 44) memujuknya seperti ‘jika mahu sihat kena pi hospital’ barulah dia ikut cakap kami,” katanya di Apartmen Bandar Perda, di sini.

Salamiah berkata, Muhammad Faris dikesan menghidap kanser sejak Julai 2012 apabila kerap muntah dan kencing berdarah ketika baru berusia 11 bulan, menyebabkannya kerap berulang-alik menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Dia berkata, ketika di HPP, Muhamad Faris menerima rawatan kimoterapi sehingga Februari 2013, namun rawatan itu terpaksa dilakukan semula kerana kanser berkenaan kembali menyerangnya Jun 2013.

“Kimoterapi terakhir dilakukan pada awal Januari 2014 dan kesannya, badan Muhammad Farish tidak membesar, rambut gugur, cepat letih dan pergerakan terbatas untuk membuat sebarang aktiviti lasak,” katanya yang mempunyai empat anak berusia setahun hingga 15 tahun.

Salamiah berkata, dia seorang suri rumah dan suaminya hanya bekerja kilang. Mereka tidak mampu membekalkan susu khas setiap bulan untuk pembesaran Muhamad Farish.

Katanya, mereka hanya berharap bantuan setahun sekali sebanyak RM1,500 daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) untuk membeli susu.

“Selain perlu menjaga pemakanan dan mengelak pengambilan makanan segera, susu khas itu saja pilihan kami untuk menggalakkan pembesaran tubuh badannya.

“Jika berat badannya bertambah baik, barulah Muhamad Farish boleh menerima buah pinggang di sebelah kanan daripada penderma prihatin, sekali gus memberikan harapan baru buat dirinya,” katanya.

Menurutnya, Muhamad Farish kini perlu melakukan rawatan susulan ujian darah enam bulan sekali dan menjalani imbasan ultrabunyi buah pinggang tiga bulan sekali selain perlu mengambil ubatan lain.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) (07001-41-00007106-6) atas nama Azmi Che Man.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 8:19 AM