Mohd Jaman (tengah) dalam sidang media membantah aktiviti mengorek pasir di Perairan Kuala Langat, semalam.
Mohd Jaman (tengah) dalam sidang media membantah aktiviti mengorek pasir di Perairan Kuala Langat, semalam.
Ayusliza Azizan


Banting: “Sejak aktiviti pengorekan pasir dijalankan di pantai Morib pada 2014, pendapatan 857 nelayan terjejas, malah mereka kehilangan separuh hasil tangkapan yang menjadi sumber pendapatan masing-masing,” kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Langat, Mohd Jaman Haris.

Mohd Jaman berkata, aktiviti pengorekan pasir itu bukan saja menjejaskan pendapatan nelayan, malah merosakkan ekosistem serta pembiakan ikan di sekitar perairan Kuala Langat.

Menurutnya, aduan dibuat berhubung perkara berkenaan, malah operasi pengorekan pasir itu juga diarahkan dihentikan pada Mac lalu namun aktiviti berkenaan tetap dijalankan tanpa pemantauan di sekitar perairan terbabit.

“Sebelum ini aktiviti mengorek pasir mendapat lesen namun kami difahamkan selepas beberapa aduan dibuat, ia dihentikan Mac lalu.

“Hingga hari ini aktiviti pengorekan pasir itu tidak pernah berhenti, malah masih ada beberapa kapal pengorek pasir aktif menyedut pasir di sini,” katanya, di sini, semalam.

Mohd Jaman berkata, pendapatan nelayan terjejas berikutan sumber semakin musnah dan kawasan tangkapan semakin mengecil.

“Kebanyakan nelayan di daerah ini menangkap ikan menggunakan kaedah pukat hanyut dan sering kali alat tangkapan seperti jaring rosak akibat disedut kapal pengorek.

“Selain itu nelayan perlu pergi jauh kerana ikan semakin berkurangan di kawasan ini,” katanya yang turut menyatakan kegiatan itu juga mengakibatkan kerugian kepada negara.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu turun padang dan meninjau aktiviti itu supaya nasib nelayan terbela.

“Setiap kali aduan dibuat, aktiviti enam kapal korek di sini diberhentikan tetapi kembali aktif tidak lama selepas itu.

“Perkara ini semakin serius dan kami berharap tindakan segera diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 8:57 AM