IFW menaungi 22 masjid sekitar Vienna membabitkan 10,800 ahli kariah yang aktif.
IFW menaungi 22 masjid sekitar Vienna membabitkan 10,800 ahli kariah yang aktif.
Mahaizura Abd Malik


Shah Alam: Tidak mahu akidah masyarakat Muslim terutama anak muda goyah, Persekutuan Islam Vienna (IFW) di Austria mengambil inisiatif menyediakan akses pendidikan Islam seawal usia tiga hingga 18 tahun.

Sekretariat Agung IFW Nuran Babadostu berkata, selain aktif membuat kerja amal termasuk projek korban dan membantu pelarian di seluruh dunia, IFW tidak melupakan tanggungjawab terhadap tanah air sendiri apabila menyediakan pelbagai pusat aktiviti kemasyarakatan dan institusi pendidikan bukan saja untuk Muslim, malah penduduk tempatan.

“IFW menaungi 22 masjid sekitar Vienna membabitkan 10,800 ahli kariah yang aktif. Selain itu, enam tadika dengan 300 kanak-kanak, sebuah kolej dan sekolah menengah Islamisches Realgymnasium Wien (IRGW) menempatkan 296 pelajar berusia antara 10 hingga 18 tahun yang mengguna pakai standard kurikulum kerajaan Austria.

“Kami juga ada sekolah tahfiz, pusat sokongan belia dan keluarga serta pejabat khidmat nasihat guaman dan perkhidmatan lain. Namun, kami kekurangan dari segi akses pendidikan sekolah rendah untuk kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun,” katanya, baru-baru ini.

Kata Nuran, melihat kepada kekurangan elemen itu ditambah pula dengan permintaan tinggi daripada rakyat tempatan, IFW berusaha mengumpul dana bagi membina sekolah rendah di kompleks IRGW yang menaungi tadika serta sekolah menengah dan kolej.

“Kompleks berkenaan pada masa ini, ada empat tingkat namun kami merancang menambah dua lagi tingkat di atas bangunan itu bagi membuka sekolah rendah untuk menempatkan 200 murid yang kami sasarkan mula beroperasi September 2019.

“Melihat kepada keadaan ekonomi sekarang, tak mudah untuk kami mampu membangunkan projek ini kerana kos diperlukan ialah USD 2.5 juta (RM10.2 juta). Justeru kami memerlukan sokongan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara lain untuk melancarkan gerakan mengumpul dana di seluruh dunia,” katanya.

Katanya, pembangunan projek sekolah rendah IRGW itu penting kerana buat masa ini kanak-kanak berusia antara enam hingga 10 tahun hanya berpeluang mendapatkan pendidikan formal di sekolah aliran biasa di sekitar Vienna yang bilangannya terhad.

“Kami mahu sekolah rendah itu berada di bawah satu bumbung dengan IRGW macam satu keluarga besar. Penting bagi kita mendedahkan elemen persekitaran Islamik seawal usia kanak-kanak itu terutama perempuan kerana cabaran di Eropah pada masa ini sangat hebat.

“Kita tidak mahu ada anak kita goyang akidahnya dan terikut budaya negatif daripada luar. Di sekolah ini mereka bukan saja mendapat pendidikan formal, malah mendapat pendedahan mempelajari al-Quran dan Sunah, tulisan khat, koir dan bersukan,” katanya IFW melantik Muslim Care sebagai rakan NGO dalam projek itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) Zakaria Abd Latif, pihaknya berperanan sebagai pemudah cara rakyat Malaysia menyumbang dengan menggunakan akaun Muslim Care melalui Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 dan Bank Muamalat 14010007654717 atau penyumbang boleh menghubungi talian 012-6935938 untuk sebarang pertanyaan.

“Berita yang diterima kebelakangan ini ramai dalam kalangan pelarian yang menetap di negara Eropah mula meninggalkan Islam kerana terikut cara hidup orang di sana. Jadi jika kita tak bantu kuatkan ilmu agama anak di sana, mereka mungkin menghadapi cabaran lebih teruk.

“Memang mereka negara maju, tetapi daripada segi mendapatkan dana amat kurang mendapat sambutan di sana, jadi kami mengajak rakyat Malaysia sama-sama membantu menjayakan projek ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 9:05 AM