Ab Ghani (kanan) bersama Pengurus Stor Giant Superstore cawangan Kota Bharu, Mohd Suhaimi Ibrahim (tengah) menyampaikan sumbangan kepada 238 penerima. Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Mas, Datin Seri Shuhanie Deraman (kiri) pada Program Misi Agihan Bantuan Banjir di Kampung Chekok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyita stesen minyak di Tok Bali, Pasir Puteh, semalam, berikutan premis itu menutup perniagaannya tanpa notis .

Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, stesen minyak itu ditutup sejak kelmarin sebelum orang ramai membuat aduan berhubung perkara itu kerana sukar untuk mendapatkan bekalan bahan api.

Katanya, pengusaha stesen minyak terbabit tidak menghantar notis kepada KPDNKK berkenaan penutupan sementara operasi mereka.

"Kita sudah hantar anggota untuk melakukan siasatan dan mendapati stesen minyak ditutup ekoran ketiadaan bekalan bahan api.

"Mengikut laporan awal, kita dapati pembekal tidak menghantar bekalan kepada stesen minyak terbabit sebelum ia ditutup," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Misi Agihan Bantuan Banjir Giant bersama KPDNKK di Bukit Jarum, Chetok, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya esok.

Katanya, pengusaha stesen minyak terbabit sepatutnya memaklumkan kepada KPDNKK berkenaan penutupan sementara operasi mereka.

"Tindakan itu boleh mengundang persepsi masyarakat terhadap kerajaan dan kita memandang serius perkara itu.

"Pada saya tidak ada kesilapan teknikal, walau bagaimanapun kita akan siasat punca sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 2:33 PM