Dapur rumah yang mengalami kerosakan selepas berlaku letupan akibat kebocoran LPG. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


DAPUR sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Teku di Sibu rosak selepas berlaku letupan akibat kebocoran gas petroleum cecair (LPG), tengah malam tadi.

Kejadian pada 12.50 tengah malam itu juga menyebabkan beberapa rumah bersebelahan mengalami keretakan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.56 tengah malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, ketika kejadian tiada penghuni di rumah berkenaan dan bomba dimaklumkan penduduk berdekatan yang terkejut dengan bunyi letupan kuat.

"Siasatan awal mendapati letupan dipercayai berpunca daripada satu daripada tiga tong gas cecair silinder di rumah berkenaan yang mengalami kebocoran.

"Impak daripada letupan itu menyebabkan dapur rumah rosak manakala beberapa rumah bersebelahan mengalami keretakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pasukan bomba masih menjalankan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 11:48 AM