AZNIL (tengah) dan Naib Presiden Jabatan Pemasaran & Celik Kewangan, Siti Norilah Shamsul Bahri bersama peserta Kem Perancangan Kewangan Kanak-Kanak, semalam.
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Amalan menabung dalam kalangan kanak-kanak dapat membantu mereka menguruskan hal kewangan dengan lebih baik pada masa depan.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik dan saling mengingatkan antara satu sama lain agar usaha mereka untuk terus menyimpan wang berterusan hingga dewasa.

Itu antara pengisian penting pada program Kem Perancangan Kewangan Kanak-Kanak anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB) di sini, semalam.

Kem disertai kira-kira 150 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun itu bermatlamat melahirkan generasi muda yang celik kewangan dan pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, kem itu memberi pendedahan awal yang mampu mempengaruhi sikap, pandangan serta pemahaman mereka mengenai nilai wang.

“Matlamat kami untuk membantu peserta kem memahami kelebihan mengurus wang dengan bijak seterusnya menjadikannya amalan menerusi sikap berjimat cermat dan menabung,” katanya.

Pada program itu, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil turut menceriakan peserta dalam sesi Ceria Bersama Pak Nil yang antara lain berkongsi pengalaman dan nasihat mengenai pengurusan wang secara bijak.

Menurut Aznil, kanak-kanak adalah individu paling mudah ‘menghadam’ segala maklumat yang disampaikan dalam waktu singkat apatah lagi jika cara kita menyampaikan informasi itu dilakukan dalam suasana menarik serta ceria.

“Saya suka mengingatkan mereka agar berjimat cermat dan daripada membeli permainan yang sekejap saja akan digunakan, lebih baik wang itu ditabung dalam akaun simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Selain itu, saya juga gemar menggunakan teori reward dalam istilah psikologi dan motivasi yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia.

“Contohnya, jika anak itu mahukan ganjaran, hadiah dan sebagainya, ibu bapa cuba terapkan dalam diri anak-anak bahawa mereka perlu cemerlang dalam pelajaran sebelum boleh memperolehnya.

“Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak cuba mencari wang sendiri melalui pertandingan menyanyi, menari, mewarna, debat dan sebagainya di mana wang hadiah itu boleh disimpan untuk tujuan pendidikan pada masa depan,” katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak memewahkan anak, sekalipun mampu, sebaliknya membesarkan mereka secara bersederhana atau ala kadar.

Mengulas mengenai pemberian RM200 kepada setiap anak Malaysia yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 hingga 2022 dihadiahkan dana tabungan permulaan sebanyak RM200 melalui unit amanah saham di PNB seperti dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018, Aznil menyifatkan ia langkah baik yang diusahakan kerajaan bukan saja untuk ibu bapa merancang, malah lebih jauh mewujudkan kesedaran pengurusan wang dalam kalangan anak mereka bermula seawal kelahiran.

Skim yang pertama kali diperkenalkan itu dinamakan sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

“Dalam keadaan kita berdepan budaya berbelanja yang agak tinggi, budaya menabung tidak sewajarnya dilupakan, malah patut menjadi keutamaan.

“Lebih utama hal tabungan pendidikan anak. Pembudayaan menabung untuk pelajaran anak itu yang lebih mustahak dan dalam konteks ini direalisasikan dengan adanya inisiatif ADAM50.

“Ibu bapa memainkan peranan penting menjadikan anak sebagai perancang kewangan yang baik untuk masa depan sendiri,” katanya.

Pandangan beliau turut disokong Penolong Pengurus PruBSN Takaful, Adi Md Shah, 37, yang menyifatkannya sebagai tindakan bijak kerajaan menggalakkan tabungan rakyat Malaysia di semua peringkat usia.

Melalui ADAM50, semua bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan bermula pada 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022 akan menerima unit insentif percuma sebanyak 200 unit, yang akan dikreditkan secara automatik selepas proses pendaftaran dilakukan ibu bapa atau penjaga mereka ke dalam tabung unit amanah kendalian ASNB, anak syarikat milik penuh PNB.

ADAM50 membabitkan dua tabung iaitu ASB bagi bayi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi bayi bukan Bumiputera.

Sebelum ini, dana unit amanah ASNB dibuka untuk individu seawal usia enam bulan tetapi kini dengan ADAM50, setiap bayi Malaysia yang lahir dalam tahun 2018 hingga 2022 akan memiliki satu akaun dengan unit insentif permulaan daripada kerajaan dan PNB.

Sebanyak 200 unit insentif dan semua dividen yang diperoleh bagi jumlah permulaan ini hanya boleh dikeluarkan selepas anak mencapai usia 18 tahun.

Malah, sebagai satu usaha untuk menggalakkan pelaburan tambahan ke dalam akaun bayi berkenaan, ibu bapa atau penjaga boleh membuat pelaburan tambahan ke dalam akaun AS1M bagi bayi bukan Bumiputera sehingga had maksimum 50,000 unit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 7:57 PM