ANGGOTA bomba berusaha memadam api walaupun berdepan kesukaran mendapatkan sumber air berhampiran.
Garret Dawum

Gombak: Kerja pembersihan tapak pelupusan sampah haram di Jalan Ulu Yam di sini yang terbakar Rabu lalu masih berjalan dan operasi sudah memasuki hari kelima.

Tinjauan Harian Metro di kawasan berkenaan semalam, mendapati sampah masih diuraikan menggunakan jengkaut oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Selain itu, kepulan asap juga masih kelihatan dari kawasan sekitar terutama dari Kampung Sungai Kertas, Kampung Batang Batu, Kampung Sungai Tua termasuk kawasan perumahan membabitkan Taman Bukit Permata, Taman Jasa Perwira dan Taman Gombak Permai.

Jurucakap MPS berkata, pihaknya turut meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang untuk memadam dan mengawal api daripada merebak ke kawasan belukar yang akan menyebabkan keadaan jerebu.

“Sebenarnya, kami sudah menahan lapan lori yang beroperasi membuang sampah di kawasan itu minggu lalu, malah, notis juga sudah dikeluarkan.

“Pejabat Daerah dan Tanah Gombak mengeluarkan notis kepada pemilik tanah dan kerja menutup bangsal sudah diadakan, namun kebakaran berlaku pada Rabu,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ketiadaan sumber air berhampiran menyebabkan pemadaman api sukar dijalankan.

“Setakat ini, bomba perlu berulang-alik mengangkut air menggunakan tangki sebelum memadam api yang dikhuatiri akan merebak,” katanya.

Sementara itu, pemilik tanah yang mempunyai kaitan dengan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram itu berdepan tindakan mengikut Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau maksimum lima tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan kelmarin memberitahu, kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

“Mengikut peruntukan ini, pemilik tanah juga boleh dikenakan tindakan sekiranya mendapati pembakaran terbuka berlaku di dalam kawasan tanah miliknya.

“JAS menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati kawasan kebakaran terletak di kawasan lereng bukit berhampiran Jalan Utara Ulu Yam-Gombak dijadikan tapak pelupusan haram.

“Saiz kebakaran dianggar seluas satu ekar (0.4 hektar) dan pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan tiada pembakaran terbuka baru di kawasan itu,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 10:59 AM