Mohd Hafizee Mohd Arop


DUA bekas pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan penukaran hak milik tanah syarikat berkenaan kepada nama mereka pada 8 April 2011.

Azman Hanafiah, 42, dan M Sundararasoo, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mereka didakwa secara bersama ketika memegang jawatan sebagai pengarah Syarikat Rentak Berpadu Piping Sdn Bhd dengan curangnya melakukan pecah amanah dengan cara menukar hak milik tanah syarikat berkenaan di Mukim Sungai Raya, Kinta, Perak kepada nama mereka.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua mereka di Pejabat Chew Gi Boo & Co Ipoh Garden, Ipoh pada 9.30 pagi, 8 April 2011.


Azman Hanafiah dan Sundararasoo didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah membabitkan penukaran hak milik tanah syarikat berkenaan kepada nama mereka pada 8 April 2011. FOTO L Manimaran

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala Azman diwakili peguam Nurwati Mohamed Mokhtar manakala Sundararasoo diwakili Ranjit Singh Sandhu.

Norashima kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis terdekat sekali sebulan.

Kes akan disebut semula pada 23 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 1:12 PM