STESEN minyak Petron Tongkang Pechah, Batu Pahat dinobatkan juara bagi kategori stesen minyak untuk pertandingan Tandas Bersih 1Malaysia 2017, hari ini. Chiew Fong (kanan) bersama kakitangannya (gambar kecil). FOTO Adi Safri
STESEN minyak Petron Tongkang Pechah, Batu Pahat dinobatkan juara bagi kategori stesen minyak untuk pertandingan Tandas Bersih 1Malaysia 2017, hari ini. Chiew Fong (kanan) bersama kakitangannya (gambar kecil). FOTO Adi Safri
Mohamad Fahd Rahmat

MEMILIKI landskap menarik, bersih dan selesa melayakkan stesen minyak Petron Tongkang Pechah, Batu Pahat dinobatkan juara bagi kategori stesen minyak untuk pertandingan Tandas Bersih 1Malaysia 2017, hari ini.

Pemilik premis itu Ng Chiew Fong berkata, dia rasa gembira dan bersyukur kerana usaha pihaknya sejak mula beroperasi pada 2013 membuahkan hasil apabila diiktiraf memiliki tandas terbersih peringkat kebangsaan.

“Stesen minyak kami meniru konsep premis sama di Filipina, dan mencontohi projek perintis syarikat Petron di Selangor. Kami amat menitikberatkan keselesaan pelanggan yang singgah bukan semata-mata untuk mengisi petrol dan diesel.

“Tetapi mereka perlukan ruang dan keselesaan untuk berehat, membersih dan menyegarkan diri sebelum memulakan perjalanan semula. Apa yang penting, kami mahu pelanggan rasa gembira apabila meninggalkan stesen minyak kami,” katanya.

Terdahulu, Chiew Fong menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil yang disampaikan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique pada majlis penutupan Karnival Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor.

Katanya, antara kemudahan disediakan di stesen minyak berkenaan termasuk tandas dilengkapi sistem penghawa dingin, kafe dengan harga berpatutan, ruang mengisi angin dan vakum kenderaan selain mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Kami juga sentiasa mengadakan acara menghargai pelanggan seperti memberi minuman dan mengilatkan tayar kenderaan secara percuma, memberi diskaun dan cabutan bertuah, selain turut mengadakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Sekolah Tun Fatimah dinobatkan juara bagi kategori sekolah menengah sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil.

Pengetuanya, Kamisah Aziz berkata, pihaknya terharu kerana kemenangan berkenaan adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk guru, pelajar dan ibu bapa yang bergotong-royong termasuk mengumpul dana bagi menceriakan tandas sekolah.

“Apa yang penting setiap pelajar ditanamkan sikap mulia iaitu menghargai tandas seperti membersihkan dan menjaganya untuk kepentingan bersama.

“Tandas kerap digunakan pelajar dan amat penting memiliki tandas yang bersih supaya mereka dapat menjalani sesi pembelajaran tanpa ada masalah bau busuk dan kurang menyenangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 2:44 PM