Dua buruh mengaku tidak bersalah cuba membunuh seorang lelaki di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Mohd Zulkifli Zainuddin
Muhamaad Razis Ismail


DUA buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan cuba membunuh seorang lelaki, April lalu.

Tertuduh, Mohd Pazrol Che Omar, 34, dan Muhammad Khaizul Wan Ahmad, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa cuba membunuh Aierierullah Mat Atan, 25, dengan melepaskan tembakan terhadap mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Permatang Pasir, Bachok kira-kira jam 1.30 tengah hari hingga 3.35 petang, 22 April 2017.

Perbuatan tertuduh itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro pada 22 April lalu melaporkan, seorang lelaki parah di bahu kanan selepas ditembak oleh sekumpulan individu yang dipercayai dikenalinya.

Sebelum itu kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa bersama dua lagi rakannya dikejar beberapa individu yang menaiki kereta Toyota Vios hingga ke kampung berkenaan dan mangsa ditembak.

Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 3:07 PM