Idris (tengah) bergambar bersama penerima penarafan enam bintang pada majlis MyQUEST, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEBANYAK 33 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditutup akibat pelbagai masalah yang dihadapi pihak pengurusan sepanjang tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia meningkat berbanding jumlah keseluruhan, 46 yang ditutup sepanjang tahun 2012 hingga 2016, iaitu tempoh Moratorium penubuhan IPTS dimulakan.

Idris berkata, penutupan semua IPTS berkenaan disebabkan pelbagai masalah yang dihadapi pihak pengurusan termasuk kekurangan pelajar dan isu berkaitan kewangan.

“Ada yang diarahkan supaya ditutup dan ada juga IPTS secara sukarela menutup operasi masing-masing kerana tidak mampu memenuhi kriteria ditetapkan.

“Dalam isu ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak boleh berkompromi kerana ia membabitkan kualiti pendidikan kepada pelajar,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian anugerah Penarafan Sistem Penilaian Kualiti Kolej Swasta Malaysia (MyQUEST) 2016/2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Datuk Dr Mary Yap Kain Ching dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Pada majlis berkenaan, 15 kolej mendapat penarafan enam bintang, lima bintang (63 kolej), empat bintang (61 kolej) dan tiga bintang ke bawah, 67 kolej.

Ia adalah antara 206 kolej yang layak diaudit dan diberi penarafan daripada keseluruhan 398 kolej yang berdaftar tahun ini.

Sementara itu, mengulas mengenai MyQUEST, Idris berkata, kementeriannya akan melakukan penarafan secara tahunan bermula tahun depan bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan tinggi swasta Malaysia.

Katanya, sebelum ini, penilaian serta penarafan dilakukan setiap dua tahun dan kaedah itu sudah tidak sesuai dengan perkembangan sistem pendidikan tanah air.

“KPT komited melaksanakan pelbagai inisiatif selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi meningkatkan keupayaan kompetitif kolej swasta menerusi MyQUEST.

“Penarafan ini penting bagi menentukan tahap kualiti perkhidmatan, sumber dan amalan baik IPTS bertaraf kolej di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 4:18 PM