Norizuan Shamsuddin


POLIS Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerima empat laporan kes gangguan seksual berlaku di rangkaian rel RapidKL, pada 14 Disember lalu.

Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Lim Jin Aun berkata, daripada jumlah itu tiga kes berjaya diselesaikan dengan penangkapan suspek selepas mangsa melaporkan insiden kepada Polis Bantuan yang bertugas di stesen.

Manakala satu lagi kes, suspek berjaya meloloskan diri apabila dikejar oleh anggota polis bantuan.

"Bagaimanapun, pihak kami sudah mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman itu sudah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan

"Kami juga sudah bertemu dengan mangsa dan memberi jaminan bahawa kejadian itu akan disiasat dengan teliti.

"Kami ingin meyakinkan penumpang bahawa Polis Bantuan sentiasa mengadakan rondaan sama ada dalam beruniform atau berpakaian preman di sepanjang rangkaian kendalian Prasarana bagi menjaga keselamatan penumpang," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jin Aun berkata, sehingga kini polis bantuan berjaya memberkas 21 daripada 22 suspek yang dilaporkan melakukan gangguan seksual sepanjang tahun ini dan mereka diserahkan kepada pihak polis.

"Selain itu, seramai 13 suspek juga ditahan kerana disyaki mengganggu penumpang di atas pengangkutan awam.

"Sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam yang utama, Kumpulan Prasarana menerusi anak-anak syarikatnya membawa lebih daripada sejuta pengguna setiap hari dan tidak terkecuali daripada menghadapi insiden yang tidak diingini.

"Bagaimanapun, kakitangan operasi serta Polis Bantuan Prasarana komited untuk membantu pelanggan sebaik mungkin. Untuk itu, kami ingin meminta penumpang yang menjadi mangsa gangguan untuk menghubungi polis bantuan secepat mungkin dan kami akan memberikan kerjasama bagi memberkas suspek," katanya.

Semalam, Portal Harian Metro melaporkan pihak polis melakukan siasatan berhubung laporan wanita yang mendakwa dicabul lelaki di dalam koc Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Masjid Jamek, pada 14 Disember lalu.

Berita berkaitan

Kena cabul di khalayak ramai

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 4:35 PM