PENGARAH Urusan Kumpulan BDB Datuk Izham Yusoff, (kiri) menyerahkan zakat kepada penerima pada Program Penyerahan Zakat Kumpulan Bina Darulaman Berhad di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Bujang, Merbok, di sini, sebentar tadi. FOTO Nor Farhani Che Ad
PENGARAH Urusan Kumpulan BDB Datuk Izham Yusoff, (kiri) menyerahkan zakat kepada penerima pada Program Penyerahan Zakat Kumpulan Bina Darulaman Berhad di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Bujang, Merbok, di sini, sebentar tadi. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


BINA Darulaman Berhad (BDB) mengagihkan zakat perniagaan bagi tahun 2016 berjumlah RM477,375 kepada lebih 1,200 asnaf di seluruh Kedah.

Pengarah Urusannya, Datuk Izham Yusoff berkata, zakat diagihkan mengikut kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih selain turut diberikan terus ke rumah asnaf.

"Agihan zakat ini sudah bermula pada bulan lalu dengan kita sampaikan terus ke rumah asnaf di seluruh Kedah.

"Bagi kawasan terpilih, tahun ini kita agihkan zakat ke kawasan Parlimen Jerlun, DUN Tanjung Dawai, DUN Bayu dan DUN Bandar Baharu," katanya pada Program Penyerahan Zakat Kumpulan Bina Darulaman Berhad di Kampung Bujang, Merbok, Sungai Petani, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Izham berkata, dalam program itu, seramai 250 penerima dari DUN Tanjung Dawai menerima zakat berjumlah RM350 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM87,500.

Katanya, program yang bermula sejak 2015 itu adalah hasil keuntungan perniagaan BDB.

"Penerima dipilih berdasarkan asnaf yang pernah membuat permohonan dan kita turut agihkan kepada mereka yang belum pernah menerima bantuan daripada BDB sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, DUN Tanjung Dawai adalah kawasan pertama agihan zakat dilakukan seterusnya akan diagihkan ke kawasan lain sehingga Mac depan.

"Kita akan meneruskan agihan zakat biarpun berlaku sedikit kelewatan memandangkan menerima pulangan zakat agak lewat namun pengagihan akan diteruskan di lokasi lain sehingga Mac depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 9:35 PM