Chan menunjukkan statistik peningkatan kes Macau Scam dan kerugian RM3.2 juta sejak awal tahun ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SERAMAI 57 ahli sindiket Macau Scam ditahan sejak awal tahun ini membabitkan kerugian RM3.2 juta setakat November selepas memperdaya 114 mangsa di Kedah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah Superintendan Chan Teck Paing berkata, angka itu juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu apabila hanya 18 mangsa diperdaya berbanding tahun ini meningkat menjadi 114 orang.

Menurutnya, lebih mengejutkan, jumlah kerugian turut bertambah sehingga RM3.2 juta sejak awal tahun ini hingga November lalu berbanding RM365,221 pada tahun lalu.

"Bagaimanapun tahun ini, kita berjaya menahan 57 orang membabitkan lelaki dan wanita tempatan berusia 20 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dengan kumpulan sindiket Macau Scam itu dan kebanyakan mereka ditahan pada pertengahan tahun ini.

"Penipuan Macau Scam ini berkait dengan kes penipuan melalui panggilan telefon dengan menyamar sebagai pegawai bank, pegawai polis dan pegawai mahkamah," katanya.

Beliau berkata, antara alasan yang digunakan untuk menipu mangsa ialah dengan memaklumkan identiti mangsa digunakan oleh penjenayah dalam pinjaman bank sebelum mangsa seterusnya disambungkan ke ‘Bank Negara Malaysia (BNM)’.

"Mereka juga memberi alasan bahawa identiti mangsa digunakan oleh penjenayah dalam permohonan kad kredit sebelum panggilan mangsa disambungkan ke BNM.

"Suspek turut menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan anak mangsa ditangkap polis kerana terbabit dalam kes dadah sebelum mangsa disuruh buat bayaran untuk selesaikan kes berkenaan.

"Selain itu suspek juga dikesan menyamar sebagai pegawai mahkamah dan mendakwa mangsa terbabit dalam kes kemalangan jalan raya sebelum panggilan disambungkan kepada pihak polis trafik," katanya.

Chan berkata, mangsa seterusnya diperdaya membuat pemindahan wang ke akaun bank diberikan supaya wang mangsa tidak dibekukan sementara siasatan dijalankan.

"Berdasarkan siasatan, kita percaya sindiket ini melatih ahli baru dalam kalangan orang muda berusia 20-an dan menjadikan bangunan lama atau kilang yang jauh dari sini atau negara jiran untuk melakukan modus operandi berkenaan.

"Bangunan itu dipercayai dijadikan sebagai pejabat lengkap dengan kemudahan kerusi dan meja serta telefon untuk memudahkan mereka menghubungi mangsa.

"Bagaimanapun kita masih mengesan dalang sindiket itu untuk membantu siasatan dan kita percaya individu terbabit menjadikan ahlinya sebagai ‘kambing hitam’ untuk menggunakan nombor akaun mereka bagi memudahkan wang dimasukkan oleh mangsa.

"Justeru itu, kita menasihatkan orang ramai yang mengesyaki sesuatu sebaik menerima panggilan daripada individu tidak dikenali supaya menghubungi polis atau pihak yang berkaitan terlebih dulu untuk pemeriksaan lanjut supaya tidak ditipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 5:39 PM