Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Sebelum ini, tugas menjaga dan membesarkan tiga anak orang kurang upaya (OKU) fizikal mereka digalas bersama.

Namun, semuanya berakhir kelmarin apabila Nooraini Ismail, 48, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tumpat, di sini, selepas hampir dua tahun menderita barah payu dara.

Kehilangan itu menyebabkan Mohd Zain Abdullah, 54, bersendirian dan perlu meneruskan tanggungjawab ke atas tiga anak istimewa, Khairul Nisaa’, 23, Muhammad Amir, 16, dan Ain Husna, 15.

Reda dengan ketentuan Ilahi itu, Mohd Zain berkata, dia kini bimbang sekiranya tiga anak yang menghidap Cerebral Palsy (CP) sukar menerima kehilangan ibu mereka.

“Sebelum ini apa saja tugasan, kami buat bersama. Arwah isteri uruskan makan pakai anak, manakala saya sedia keperluan untuk keselesaan mereka supaya dapat membesar seperti orang lain.

“Kehilangannya menyebabkan saya hilang punca seketika. Tanggungjawab sepenuhnya atas bahu saya dan anak kedua kami (Ummi Syamirah, 25) yang berhenti kerja sebagai pembantu jualan di kedai kain di Kota Bharu untuk membantu saya.

“Saya bimbang keadaan mereka terjejas kerana mereka rapat dengan arwah terutama Ain Husna. Semalam (kelmarin), dia asyik merengek, mungkin menyedari ibunya tiada,” katanya di rumahnya di Kampung Kok Keli 1, di sini, semalam.

Menurutnya, perkahwinan mereka dikurniakan lima anak OKU yang menghidap penyakit sama, namun dua daripadanya meninggal dunia ketika berusia enam dan tujuh tahun pada 1991 serta 2013.

Arwah isteri juga merahsiakan penyakit dihidapi sehingga menjalani pembedahan membuang ketumbuhan November tahun lalu.

“Selepas pembedahan, dia beritahu sudah sihat dan minta saya tidak bimbangkan kesihatannya dan hanya fokus pada kerja sebagai tukang rumah bagi menyara keluarga.

“Tetapi keadaan semakin serius sebulan lalu dan dia dimasukkan ke hospital, dua minggu kemudian sebelum menghembuskan nafas terakhir jam 10 pagi semalam (kelmarin),” katanya.

Meskipun pilu kehilangan insan terpenting dalam hidupnya, kesedihan itu tidak ditunjukkan di hadapan anaknya.

“Saya akan pikul tanggungjawab ini sebaik mungkin demi anak syurga kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 6:14 AM