Visvanathan (tengah), Shanmuganathan (kanan) dan Thiagu diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas didakwa, semalam.
Salman Hamat


Melaka: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam, atas tuduhan menyebabkan kematian remaja lelaki dalam kejadian di Krubong, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tga tertuduh, J Visvanathan, 32, K Shanmuganathan, 35, dan N Thiagu, 38, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa meneruskan niat bersama dengan menyebabkan kematian M Arunasalam, 16, di bengkel membaiki lori di Kawasan Perindustrian Krubong antara jam 5 petang hingga 8 malam, 4 Disember lalu.

Atas perbuatan itu, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Selepas pertuduhan dibacakan, Norina menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan setakat ini, hanya Shanmuganathan diwakili peguam A Mathan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria.

Harian Metro pada 7 Disember lalu melaporkan orang awam menemui remaja terbabit di sebuah hentian bas di Ayer Keroh sebelum menghantarnya ke Hospital Melaka, namun mangsa disahkan meninggal dunia 30 minit selepas diberi rawatan.

Dalam masa sama, tiga rakaman video remaja lelaki dipukul dipercayai di Krubong tular di Facebook.

Susulan itu, polis menahan tiga lelaki termasuk bapa saudara mangsa di tiga lokasi berbeza.

Hasil siasatan polis mendapati mangsa bukan ditemui orang awam sebaliknya ia rekaan suspek untuk menutup perbuatan mereka.

Mangsa juga dilaporkan dihantar sendiri oleh suspek ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 6:26 AM