ALANG memohon maaf daripada ibunya.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: “Terlalu banyak dan besar dosa saya pada ibu selama ini akibat menagih dadah. Walaupun belum sihat sepenuhnya kerana diserang angin ahmar saya nekad menjaga ibu yang kini menderita akibat sakit kencing manis dan sakit saraf,” kata bekas penagih dadah, Alang Ismail, 22.

Alang yang mula menagih dadah sejak berusia 13 tahun berkata, sebagai anak dia terlalu terhutang budi pada ibunya, Fatimah Tumin, 55, dan hubungan mereka mula renggang apabila ketagihannya semakin menjadi-jadi ketika berusia 17 tahun.

“Tiada cara lain bagi saya untuk menebus dosa terhadap ibu sejak menagih dadah seawal usia 13 tahun melainkan berbakti kepadanya walaupun saya sendiri belum pulih sepenuhnya daripada angin ahmar.

“Saya diserang angin ahmar tahun lalu dan difahamkan penyakit itu berpunca daripada penagihan dadah yang lama hingga menjejaskan urat saraf menyebabkan pergerakan kaki dan tangan kiri terbatas.

“Saya mula menagih dadah kerana terpengaruh dengan rakan ketika remaja dan berhenti seketika. Malangnya saya kembali menagih ketika berusia 17 tahun menjadikan hubungan dengan ibu semakin renggang.

“Ketika itu, saya hanya mementingkan diri sendiri dan sentiasa mengabaikan ibu termasuk kebajikannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Tinggi, semalam.

Menurutnya, berkat doa ibu dan juga sokongan arwah datuk, dia akhirnya berhenti daripada menagih dadah ketika berusia 18 tahun dengan menyerah diri kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, kehidupannya diuji ketika bekerja di bawah AADK sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) tahun lalu apabila diserang angin ahmar.

“Ketika itu saya koma selama lima hari dan terlantar di katil selama tiga bulan. Bagaimanapun, selepas berurut keadaan saya semakin baik setiap hari namun kaki masih lemah dan beberapa kali nyaris terjatuh.

“Disebabkan penyakit itu, saya tidak layak menyambung kontrak dengan AADK dan secara kebetulan ibu pula sakit di rumah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjaganya sepenuh masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 6:57 AM