Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


PENJUAL ikan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas pertuduhan membunuh pengutip hutang di Taman Arked, Sungai Petani, dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Amirul Khairol Nizam, 19, yang hanya mengangguk faham selepas selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Fared Abd Latif.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Amirul didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Liu Chee Wei, 25, di kawasan Taman Arked, antara 2.30 hingga 3.30 petang, pada 4 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Muhammad Amirul dituduh di Mahkamah Majistret atas kesalahan membunuh pengutip hutang di Taman Arked dua minggu lalu. FOTO Amran Hamid

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan sebutan kes pada 21 Februari 2018 sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Portal Berita Harian Metro 6 Disember lalu melaporkan tertekan dengan hutang RM2,000 yang gagal dijelaskan menyebabkan lelaki berusia 19 tahun bertindak menikam seorang lelaki di lorong belakang Taman Arked, Sungai Petani.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid dilaporkan berkata, suspek yang bekerja sebagai penjual ikan berhutang dengan mangsa, malah perlu membayar RM26 setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 12:02 PM