Nur Saliawati Salberi


LELAKI dikhuatiri lemas ketika cuba mengambil bola yang dihanyutkan ombak di Pantai Puteri, Melaka, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Mohammad Rohim Rohani, 35, dikatakan sedang memancing sebelum cuba mengambil bola milik anak saudaranya yang dihanyutkan ombak sebelum hilang.

Ketua Balai Bomba Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu Roslan Jalil berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.54 pagi, dua jentera dari BBP Tangga Batu dan BBP Jalan Kubu bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Anggota bomba dan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas. FOTO Muhammad Rasul Azli Samad

Beliau berkata, maklumat diterima pihaknya mengatakan mangsa yang berasal dari Rantau Panjang, Klang itu datang bercuti ke Pantai Puteri bersama ahli keluarganya.

“Usaha mencari dan menyelamatkan sedang giat dijalankan dalam lingkungan satu hingga dua batu nautika dari tempat mangsa dilaporkan tenggelam," katanya.

Beliau berkata, selain pihak bomba, operasi mencari dan menyelamat turut dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan nelayan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 5:32 PM