Salman Hamat


POLIS Melaka menahan pemandu lori berusia 27 tahun yang terbabit kemalangan dengan lima kenderaan hingga menyebabkan dua rentung di Kilometer 202.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), 10.55 malam kelmarin, selepas dia tampil untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Alor Gajah, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, hasil siasatan dilakukan lelaki itu mendakwa dia melarikan diri kerana risau dibelasah selepas beberapa pengguna lebuh raya lain yang berhenti mula menengkingnya.

Beliau berkata, pemandu itu juga mendakwa cuba memadamkan api selepas mendengar jeritan mangsa meminta tolong, namun gagal berikutan alat pemadam api digunakan gagal berfungsi.

“Dia (pemandu) melarikan diri dan pulang ke rumah keluarganya di Labis, Johor.

“Berikutan kejadian itu dia trauma, jadi kami terpaksa minta bantuan bapanya untuk pujuk dia supaya tampil buat laporan. Dia ditahan di IPD Alor Gajah untuk diambil keterangan dan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kemalangan itu Mohd Sham berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti pemandu dan penumpang Proton Wira yang rentung iaitu warga Bangladesh.

Menurutnya pemandu terbabit dikenali sebagai Md Ysuf Deoyan Panna, 26, masih bujang, manakala penumpang Md Ilias Kha, 27, sudah berkahwin dan kedua-duanya bekerja sebagai buruh binaan.

"Kami berjaya mengesan waris mangsa menerusi semakan nombor pendaftaran Proton Wira berkenaan yang juga milik saudara-mara mereka. Waris mendakwa kedua-dua mangsa sempat minum bersama di Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Melaka untuk bercuti di negeri ini.

"Pengecaman identiti pemandu dan penumpang rentung itu adalah berdasarkan kepada cebisan pakaian masih melekat pada badan dan gelang dipakai yang disahkan waris adalah milik mangsa selain Proton Wira dinaiki," katanya.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dituntut waris bagi urusan pengebumian selepas proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah, semalam selesai.

Harian Metro hari ini, melaporkan pemandu dan penumpang sebuah proton wira selepas kenderaan dinaiki sebabit kemalangan dengan lima kenderaan di Kilometer 202.6 Lebuh Raya Utara Selatan, pada jam 10.55 malam kelmarin.

Kejadian berlaku selepas lori membawa muatan hampas kacang soya berada di lorong kanan tidak sempat membrek ketika cuba mengelak melalui lorong kanan dan tengah yang ditutup bagi kerja penyelenggaraan.

Kenderaan itu kemudian melanggar bucu kiri lori membawa bahan pembinaan milik kontraktor diparkir di lorong kanan yang ditutup. Lori terbabit hilang kawalan lalu melanggar Proton Wira dinaiki kedua-dua mangsa di lorong kiri.

Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas ke dalam longkang di bahu jalan sebelum terbakar.

#kw pemandu lori soya tampil buat laporan Superintendan Mohd Sham Abdullah

#loc 2.3822109999999999, 102.2115611

ends

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 5:49 PM