Norfitrah dan Zauyah hanya terlantar di tempat tidur dan terpaksa bergantung pada saudara bagi menguruskan diri di Permatang Haji Hassan, Tasek Gelugor. FOTO Zulfa Mohamad
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


SEORANG ibu bukan saja tidak mampu menguruskan diri sendiri kerana terlantar sejak dua tahun lalu malah terpaksa bergantung pada saudara bagi menguruskan anaknya yang turut terlantar sejak kecil.

Zauyah Abdullah, 46, sebelum ini menetap di Kuala Ketil, Kedah tetapi dibawa ke rumah bapanya di Permatang Haji Hassan, Tasek Gelugor, dua minggu lalu oleh kakaknya, Sa'adiah, 47.

Sa'adiah yang mempunyai tujuh anak turut menguruskan anak Zauyah yang terlantar, Norfitrah Mat Ramli, 10, serta tiga lagi adik beradiknya berusia lapan, 12 dan 14 tahun.

Derita bagai tiada kesudahan apabila suami tempat Zauyah bergantung, Mat Ramli Ab Rahman meninggal dunia Julai lalu akibat penyakit jantung.

Menurut Sa'adiah, dia pulang ke rumah bapanya semata-mata untuk menjaga Zauyah dan Norfitrah yang terlantar serta tidak mampu menguruskan diri sendiri.

"Zauyah menderita darah tinggi dan kencing manis sejak beberapa tahun lalu, tetapi mula serius dua tahun lalu apabila dia terjatuh buat kali ketiga sehingga terlantar.

"Sebelum ini dia (Zauyah) masih mampu menguruskan Norfitrah yang diserang sawan sejak kecil, tetapi kini dia pula terlantar," katanya selepas dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua Muhamad Yusoff Mohd Noor dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hari ini.

Sementara itu, Muhamad Yusoff berkata, beliau simpati kepada Zauyah dan anaknya yang terpaksa bergantung pada saudara untuk menguruskan diri.

"Sa'adiah juga susah kerana mempunyai tujuh anak manakala suaminya hanya bekerja kampung.

"Saya minta JKM mempertimbangkan bantuan sesuai kepada keluarga Zauyah dan Sa'adiah bagi meringankan beban mereka," katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Sa'adiah di talian 019-4248541.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 7:49 PM