HASANUDDIN (kanan) dan Timbalannya Datuk Din Ahmad menunjukkan rampasan dadah jenis heroin di Kampung Banggol Kulim, kelmarin.
HASANUDDIN (kanan) dan Timbalannya Datuk Din Ahmad menunjukkan rampasan dadah jenis heroin di Kampung Banggol Kulim, kelmarin.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang buruh sanggup menerima upah RM250 semata-mata untuk menyimpan dan mengedar dadah jenis heroin yang diseludup dari negara jiran untuk pasaran di Kelantan.

Dia dipercayai menjadi tukang simpan dan mengedarkannya sejak dua bulan lalu sebelum kegiatannya terbongkar apabila rumah di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang diserbu polis, Isnin lalu.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan bersama kakak dan dua anak saudaranya jam 4 petang.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya menahan empat sekeluarga itu yang berusia antara 16 hingga 40 tahun dan merampas 436 gram heroin bernilai RM218,000

“Serbuan sepasukan anggota risik Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan suspek utama berusia 23 tahun bersama wanita berusia 40 tahun serta dua anak saudaranya iaitu lelaki dan perempuan masing-masing 18 dan 16 tahun.

“Ketika serbuan, suspek lari dan bersembunyi dalam bilik air di rumahnya sebelum mencampakkan satu bungkusan surat khabar mengandungi dadah di bumbung rumah jiran.

“Pasukan kita memecahkan bilik air dan menemui suspek bersama satu beg hitam mengandungi dadah jenis heroin dan satu bungkusan di bumbung rumah jirannya yang diisi dalam 109 botol,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Hasanuddin berkata, hasil siasatan mendapati bekalan dadah itu kepunyaan seorang lelaki dikenali sebagai Pak Ya yang diseludup masuk menerusi pangkalan haram di Rantau Panjang.

“Suspek menerima upah RM250 untuk menyimpan dan mengedarkan dadah itu. Kita menahannya untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mereka sekeluarga direman selama tujuh hari bermula semalam (kelmarin) hingga Isnin ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 5:12 AM