Mahassan memeriksa lesen memandu dalam sekatan jalan raya di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mahassan memeriksa lesen memandu dalam sekatan jalan raya di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


TIDAK tahu kenderaan dipandu adalah kereta klon, jadi antara alasan ‘popular’ pemandu di Kelantan untuk melepaskan diri daripada ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam Op Patuh Siri 2 diadakan agensi itu di Kota Bharu, malam tadi, sebuah kereta klon Mercedes Benz disita dan lelaki berusia 48 tahun ditahan.

Pengarah JPJ Kelantan Mahassan Mustapa berkata, pemandu itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Kuala Krai.

“Sebaik ditahan pada 10 malam, lelaki berkenaan memberi alasan bahawa tidak tahu keretanya klon.

“Namun kita tidak terima alasan begini kerana kebanyakan pemandu kereta klon yang kita ditahan menggunakan alasan sama untuk melepaskan diri,” katanya ditemui selepas operasi berakhir 12 tengah malam.

Mahassan berkata, inginkan gaya hidup mewah menjadi faktor orang ramai memiliki kereta mewah klon.

“Dari segi sosio ekonomi, kita dapati pengguna kereta klon adalah golongan pertengahan dan kebanyakannya terdiri daripada kakitangan kerajaan.

"Jadi kepada orang ramai, sekiranya ditawarkan untuk memiliki kereta dengan harga murah, seeloknya rujuk kepada kami dan kita bagi khidmat nasihat percuma," katanya.

Mengulas operasi itu bermula 3 petang di dua lokasi berbeza, beliau berkata, 64 notis dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu dan tamat tempoh.

“Lain-lain kesalahan adalah menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi yang sudah ditetapkan oleh JPJ,” katanya.

Dalam operasi itu, JPJ turut menyita empat kenderaan termasuk sebuah kereta klon dan tiga kenderaan yang tamat cukai jalan.

Op Patuh akan berakhir 31 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 11:54 AM
Digital NSTP Subscribe