Mahkamah Sesyen Kota Bharu mengeluarkan waran tangkap ke atas tertuduh, Mohamad Fauzi (peluk isteri) dan abangnya, Mohd Fairuz (baju putih) dan isteri masing-masing kerana gagal hadir prosiding berhubung tuduhan samun, tahun lalu. FOTO Zaman Huri Isa
Maiamalina Mohamed Amin


MAHKAMAH Sesyen Kota Bharu, hari ini, mengeluarkan waran tangkap terhadap dua tertuduh dan isteri masing-masing kerana gagal hadir prosiding berhubung tuduhan samun, tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail mengeluarkan waran itu terhadap tertuduh, Mohamad Fauzi Ariffin, 26, dan abangnya, Mohd Fairuz, 29.

Waran tangkap turut dikeluarkan ke atas isteri Mohamad Fauzi, Alyaa Natasha Sariman, 22, dan Siti Norfarhana Radzuan, 25, (isteri Mohd Fairuz) yang juga penjamin kedua-dua tertuduh.

Nazri berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan tertuduh bersama penjamin masing-masing wajib hadir setiap prosiding kes yang sudah dimulakan Disember, tahun lalu.

“Berikutan kegagalan hadir hari ini, waran tangkap dikeluarkan ke atas tertuduh dan juga penjamin masing-masing.

Tarikh 7 Februari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes ini,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad manakala Mohamad Fauzi diwakili peguam Zuhaidi Akmal Hasan Basri, sementara Mohd Fairuz tidak diwakili peguam.

Zuhaidi Akmal ketika ditemui di luar mahkamah menasihati anak guamnya supaya memberi kerjasama bagi menyelesaikan kes itu.

“Saya nasihatkan mereka serah diri dan beri kerjasama kepada polis. Mereka gagal dihubungi sejak malam tadi,” katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama Adri Hazwan Ahmad, 28, (hadir mahkamah tadi) didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas Rahmah Omar, 54, dengan mengambil wang tunai berjumlah RM3,050 di Kampung Tanjong Badang, Kota Bharu, pada 11.15 malam, 18 Mac 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Pada 6 Disember lalu, mahkamah sama membebas dan melepaskan Mohamad Fauzi dan Mohd Fairuz daripada tuduhan merompak bersenjata bersama tiga lagi lelaki di stesen minyak di Tunjong, Kota Bharu, tahun lalu.

Keputusan dibuat selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 12:49 PM