Adam Aziz
Adam Aziz
Fardy Bungga

ORANG ramai, pemilik bot dan persatuan pemancing yang gagal menghubungi ahli keluarga atau ahli persatuan masing-masing yang turun ke laut sejak Isnin lalu digesa segera tampil menyalurkan maklumat.

Pengarah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan ke bilik operasi 24 jam APMM di talian 088-387845 untuk tindakan segera.

Katanya, semalam, pihaknya menerima panggilan radio daripada Kapten Kapal Dagang MV Nur Amanah yang memaklumkan sebuah bot nelayan hanyut di kedudukan kira-kira 11 batu Nautika timur, Pulau Mengalum.

"Kapten kapal memaklumkan terserempak dengan sebuah bot nelayan dinaiki tiga individu yang meminta bantuan. Difahamkan bot berkenaan sudah hanyut selama tiga hari akibat kerosakan enjin.

"Namun disebabkan cuaca buruk kapal dagang berkenaan gagal memberi bantuan dan hanya membuat panggilan melalui radio bagi memaklumkan kepada APMM untuk mendapatkan bantuan segera," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, sejurus menerima laporan, sepasukan anggota dan aset APMM segera diatur gerak ke lokasi terakhir seperti yang dilaporkan kapal dagang MV Nur Amanah.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini bot berkenaan masih belum ditemui.

"Maklumat yang diperoleh, bot yang dilaporkan hanyut itu berwarna kelabu dengan ukuran anggaran panjang 20 meter dan 5 meter lebar.

"Kita juga mohon bantuan daripada komuniti maritim di sekitar Pantai Barat Sabah untuk membantu mengesan bot nelayan yang dilaporkan hanyut oleh kapal dagang MV Nur Amanah,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 4:17 PM