HM Digital

Port Dickson: Mahkamah Majistret di sini, semalam, menetapkan 16 Januari depan sebagai sebutan semula kes bunuh membabitkan seorang pemilik kedai cuci kereta di Ampangan, Seremban, September lalu.

Majistret Siti Khairiah Abdul Razak membuat keputusan itu bagi membenarkan Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini mendapatkan laporan forensik yang kini masih belum lengkap.

Pada 22 November lalu di mahkamah sama, tertuduh, S Soosai, 29, didakwa membunuh B Sugumaran, 32, di tanah perkuburan Hindu di Kampung Saga, Rantau antara jam 10.30 malam hingga 12 tengah malam, 13 September lalu.


SOOSAI diiringi keluar dari Mahkamah Majistret Port Dickson, semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang diwakili peguam Paul Krishnaraja.

Harian Metro pada 13 November lalu melaporkan, mayat Sugumaran yang dilaporkan hilang dari premisnya di Ampangan, Seremban ditemui ditanam di Siliau, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 8:26 AM