ADAM  (tiga dari kiri) bersama mangsa bot hanyut yang berjaya diselamatkan membaca doa pada sidang media susulan kejadian bot pancing yang rosak di perairan Mengalum.
ADAM (tiga dari kiri) bersama mangsa bot hanyut yang berjaya diselamatkan membaca doa pada sidang media susulan kejadian bot pancing yang rosak di perairan Mengalum.
Fardy Bungga


Kota Kinabalu: Tujuh selamat manakala dua lagi rakan pemancing masih hilang selepas dua hari operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Itu nasib berbeza bagi sembilan pemancing yang hanyut lebih 100 kilometer sebelum tujuh daripada mereka diselamatkan anggota APMM, di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, kelmarin.

Terdahulu, dalam kejadian Ahad lalu, sembilan lelaki berusia 25 hingga 52 tahun dari Kampung Pondo, Pulau Gaya, keluar memancing ke Pulau Mengalum, dekat sini, namun terpaksa membatalkan hasrat mereka apabila bot dinaiki mengalami kerosakan pada enjin.

Tiga daripada kumpulan pemancing itu kemudian cuba mendapatkan bantuan di Pulau Gaya, dekat sini, menggunakan sampan kecil tanpa enjin namun usaha mereka gagal apabila ia karam dipukul ombak setinggi 4.5 meter.

Akibat kejadian itu, tiga individu berkenaan hilang sebelum seorang daripada mereka ditemui terapung di perairan Pulau Mantanani kira-kira jam 2.30 petang Khamis lalu.

Enam lagi pemancing yang hanya menunggu di dalam bot turut dihanyutkan ombak ke perairan Pulau Mantanani sebelum mereka mengambil keputusan berenang lebih 10 kilometer ke darat.

Tekong bot, Abdul Si Misil, 52, berkata, mereka tiada pilihan selain berenang ke Pulau Mantanani kerana bimbang tiada sesiapa yang akan menyelamatkan mereka.

Katanya, mereka terpaksa berenang hampir 11 jam menggunakan rakit yang dibuat daripada pelampung keselamatan yang ada di bot mereka.

“Kami sudah tidak mempunyai pilihan lain selain berenang ke darat. Kami juga kelaparan kerana sudah lebih dua hari tidak makan selepas peralatan memasak terjatuh ke laut akibat bot dipukul ombak.

“Kami sampai ke Pulau Mantanani kira-kira jam 7 malam kelmarin, sebelum meminta bantuan penduduk kampung menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan kami,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, mangsa pertama, Nordin Majuki, 38, ditemui terapung di kedudukan lima batu nautika dari Pulau Mantanani Kecil, kira-kira jam 2.20 petang.

Katanya, enam lagi rakannya yang berenang lebih 10 kilometer ke Pulau Mantanani berjaya sampai ke pulau berkenaan sebelum dibantu pengawal keselamatan Remote Sensor Site (RSS) yang menghubungi APMM untuk bantuan segera.

“Operasi masih diteruskan untuk mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang dikenali sebagai [email protected] Tampas, 50-an, dan Moso Nasi, 25.

“Mangsa yang ditemui selamat ialah Nordin; Abdul; Saudi Saldi, 28; Noradin Bihi, 33; Tadura Subing, 35; Razpauzi Nasi, 35, dan Rubi Akpara, 50,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Adam berkata, Nordin masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) kerana mengalami kekejangan akibat kesejukan melampau manakala mangsa lain dibenarkan pulang.

Dalam kejadian Rabu lalu, Kapal Dagang MV Nur Amanah memaklumkan kepada APMM sebuah bot nelayan hanyut di kedudukan kira-kira 11 batu nautika timur Pulau Mengalum.

Kapten kapal dagang itu memberitahu terserempak dengan sebuah bot nelayan yang meminta bantuan dan difahamkan bot berkenaan hanyut selama tiga hari akibat kerosakan enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 5:38 AM