Lelaki mengaku Datuk (wajah dikaburkan) ditahan kerana positif dadah. FOTO ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com


CUBA gertak anggota polis dengan mengaku bergelar Datuk kerana tidak puas hati disaman, seorang lelaki akhirnya ditahan selepas pemeriksaan lanjut mendapati dia positif dadah dalam pemeriksaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, di Jalan Tuanku Abdul Rahman malam semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki itu yang memandu kereta Honda Accord pada awalnya ditahan kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dia menggunakan nombor plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

"Apabila anggota polis bertugas mengeluarkan saman, lelaki itu tidak berpuas hati dan menggertak dengan menyatakan berpangkat Datuk dari sebuah negeri.

“Malah, ketika diperiksa juga, lelaki itu mengaku mengambil barang terlarang disyaki dadah,”€ katanya.

Ahmad Adnan berkata, lelaki itu kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif mengambil dadah jenis methaphetamine dan AMP.

"Lelaki itu kini ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki memasukan dadah ke dalam tubuh sendiri,”€ katanya.

Menurut Ahmad Adnan, polis masih menyiasat status gelaran Datuk€™ lelaki itu berikutan semakan menerusi rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati nama lelaki itu tiada dalam senarai VIP bergelar Datuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 3:19 PM