Selera makan Iman semakin baik hari ini. FOTO ihsan JHL
Norasikin Daineh


SELERA makan Iman, badak sumbu Sumatera betina terakhir Malaysia yang mengalami pendarahan akibat tumor dalam rahim semakin bertambah baik hari ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, perkembangan Iman pada hari ini lebih baik daripada sebelumnya apabila ia makan lebih banyak makanan walaupun ia masih belum mencukupi.

"Ia makan daun sebanyak 1.5 kilogram (kg) pada waktu pagi dan 1.5 kg lagi pada waktu petang.

"Kami merancang mahu memberinya makanan lebih banyak lagi apabila ia bangun pada malam ini iaitu pada 8 dan 10 malam nanti," katanya dalam kenyataan media, di Kota Kinabalu, hari ini.

Augustine berkata, badan Iman harus dilindungi daripada disaluti lumpur dan lalat yang menghampirinya.

"Iman juga turut diberi cairan intravena dan antibiotik pada 10 pagi dan selesai 5.30 petang tadi.

"Namun ia tidak diberikan Diazepam kerana selera makannya sudah bertambah baik dan mula memakan daun nangka yang diletakkan di dalam kandangnya,” katanya.

Iman dikesan menghidap tumor leiomyoma di rahim apabila ia mula mengalami pendarahan.

Iman ialah seekor daripada dua badak sumbu betina di negara ini selepas kematian Puntung akibat kanser kira-kira enam bulan lalu.

Berita berkaitan

Kasihan Iman

Iman ada tumor

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 9:14 PM