GAMBAR hiasan
Harun Yahya
am@hmetro.com.my


LELAKI ditahan polis di rumah di Sungai Bidut, Sibu, semalam selepas dipercayai membelasah teman wanita berusia 14 tahun menggunakan rantai gergaji serta merogolnya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, suspek berusia 27 tahun dikatakan membelasah mangsa selepas remaja terbabit keluar dari rumah berkenaan tanpa pengetahuannya.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zailanni Amit berkata, tindakan suspek itu menyebabkan mangsa cedera di belakang badan akibat libasan rantai gergaji berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek dan mangsa sudah tinggal bersama di rumah pekerja ladang kelapa sawit tempat lelaki terbabit bekerja sejak Januari lalu.

"Suspek mula tidak berpuas hati dengan mangsa selepas hasratnya untuk mengahwini teman wanitanya itu tidak diterima kerana sikap lelaki terbabit yang cemburu dan panas baran.

"Namun kemuncak kemarahan suspek berlaku selepas mengetahui mangsa keluar dari rumah berkenaan untuk bertemu rakan dan tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dulu," katanya kepada Harian Metro di Sibu.

Beliau berkata, mangsa yang tidak tahan dengan perasaan cemburu dan panas baran suspek selain bimbang akan terus dibelasah kemudiannya tampil membuat laporan polis hari yang sama.

Katanya, mangsa yang dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut kemudian mendedahkan dia dan suspek sudah beberapa kali melakukan hubungan seks sejak berkenalan dengan teman lelakinya itu sejak Januari tahun lalu.

"Bertindak atas laporan dan maklumat yang diterima sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu kemudiannya menahan suspek dan merampas seutas rantai gergaji yang digunakan untuk membelasah mangsa dalam kejadian itu.

"Suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol dan Seksyen 324 KK kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Tambahnya, mangsa kini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pemantauan sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 3:59 PM