BOT nelayan yang ditahan APMM. FOTO ihsan APMM
Muhaamad Hafis Nawawi


TEKONG dan dua awak-awak tempatan bersama bot nelayan tempatan kelas B1 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 0.4 Batu Nautika Barat Pulau Songsong kerana melanggar syarat lesen semalam.

Kapal peronda, KM Kimanis, yang membuat rondaan pada 9.25 malam menemui bot itu sebelum menahan mereka atas kesalahan melanggar syarat lesen iaitu memukat ikan kurang lapan batu nautika dari pantai.

Pengarah Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, bot itu ditahan bersama hasil tangkapan ikan anggaran seberat 350 kilogram yang dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pengusaha bot nelayan dinasihati supaya mematuhi undang-undang yang disyaratkan di dalam lesen yang diberikan.

"Orang ramai juga diharap segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini.

"Sebarang aduan dan kecemasan dilaut boleh dilaporkan ditalian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah ditalian 04-7310579," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 4:56 PM