Mohd Husni Mohd Noor


SELEPAS tergendala sejak malam tadi, satu daripada perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah mula beroperasi seperti biasa, 11.22 pagi, hari ini.

Malaysia Aiports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya memohon maaf kepada semua penumpang diatas kesulitan berkenaan.

Menurutnya, pasukan kejuruteraan MAHB kini sedang melakukan kerja selenggara segera bagi memastikan perkhidmatan aerotrain di KLIA kembali beroperasi seperti biasa.

"Pada masa sama, kami menasihatkan penumpang supaya menggunakan perkhidmatan 27 buah bas dan tiga buah van yang disediakan di terminal bagi melancarkan perjalanan dari terminal utama ke bangunan satelit.

"Kami menjangkakan pergerakan penumpang yang melebihi 90,000 orang di KLIA sepanjang musim cuti ini," katanya.


SATU aerotrain di KLIA mula beroperasi seperti biasa. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Katanya, pihaknya menasihatkan penumpang supaya tiba lebih awal di KLIA bagi mengelak sebarang kesulitan dan masalah.

Difahamkan, ini kali ketiga perkhidmatan tren itu tergendala untuk tahun ini.

Perkhidmatan aerotrain di KLIA dihentikan pagi tadi bagi memberi ruang kepada kerja-kerja penyelenggaraan luar jadual yang perlu dilaksanakan.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kesesakan penumpang di KLIA sebelum MAHB mengaktifkan perkhidmatan bas bagi mengangkut penumpang di antara terminal utama dan bangunan satelit menggunakan 17 bas dan tiga van.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 3:25 PM