Mohd Husni Mohd Noor


PERKHIDMATAN aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang tergendala sejak pagi pulih sepenuhnya pada 3.48 petang hari ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya berterima kasih kepada pasukan kejuruteraannya yang bertugas sejak pagi bagi menyelenggara perkhidmatan berkenaan.

"Kami menghargai kesabaran penumpang yang terjejas dengan perkhidmatan itu sementara pasukan kami bekerja sangat gigih bagi mengatasi masalah berkenaan," katanya.

Sebelum ini, satu daripada perkhidmatan aerotrain sudah mula beroperasi seperti biasa jam 11.22 pagi ini selepas perkhidmatan itu tergendala sejak jam 8 pagi.

Pada masa sama, MAHB menasihatkan penumpang supaya menggunakan perkhidmatan 27 bas dan tiga van yang disediakan di terminal bagi melancarkan perjalanan dari terminal utama ke bangunan satelit.

Difahamkan, ini kali ketiga perkhidmatan tren itu tergendala untuk tahun ini.

Perkhidmatan aerotrain di KLIA dihentikan sejak pagi tadi bagi memberi ruang kepada kerja-kerja penyelenggaraan luar jadual yang perlu dilaksanakan.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kesesakan penumpang di KLIA sebelum MAHB mengaktifkan perkhidmatan bas bagi mengangkut penumpang di antara terminal utama dan bangunan satelit menggunakan 17 buah bas dan tiga buah van.

Berita berkaitan:

Aerotrain kembali beroperasi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 5:47 PM