Anggota polis trafik melakukan pemeriksaan dalam Ops Samseng Jalanan dan Ops Mabuk di Jalan Kuah-Padang Matsirat, Langkawi, hari ini. FOTO/ Ihsan Polis Trafik Langkawi
Hamzah Osman


POLIS menahan tiga lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan mengeluarkan 70 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Ops Samseng Jalanan dan Ops Mabuk di Jalan Kuah-Padang Matsirat, Langkawi, hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi Asisten Superintendan Ahmad Shukri Ramli berkata, operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu disertai 23 anggota trafik termasuk tiga pegawai dari Balai Trafik Langkawi (BTL) dan Ibu Pejabat Kontinjen Kedah.

"Tiga lelaki berusia antara 29 dan 48 tahun yang memandu di bawah pengaruh alkohol itu ditahan dalam operasi selama empat jam di Jalan Kelibang di Langkawi dan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Lelaki warga Thailand berusia 39 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki syabu, selain pemuda tempatan berusia 21 tahun mengikut Seksyen 39A(1) akta sama kerana ujian air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, bagi kesalahan Seksyen 45A (1) APJ 1987, hukumannya denda minimum RM1,000 dan maksimum RM6,000 serta boleh dipenjara sehingga 12 bulan, jika disabit kesalahan.

"Dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan 70 saman, menyita 12 motosikal dan dua kereta atas pelbagai kesalahan lalu lintas sebelum semua kenderaan itu dibawa ke BTL untuk siasatan lanjut.

"Usaha penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan dan memandu di bawah pengaruh alkohol, malah pemandu perlu sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 12:48 PM