Gambar yang tular menunjukkan bangkai tapir dilapah individu tidak bertanggungjawab. FOTO ihsan pembaca
Gambar yang tular menunjukkan bangkai tapir dilapah individu tidak bertanggungjawab. FOTO ihsan pembaca
Ramli Ibrahim


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan sedang mengesan tiga individu dipercayai melapah kulit tapir yang mati dilanggar, Ahad lalu.

Tapir Malaya itu dilanggar kereta dipandu wanita berusia 24 tahun di Kilometer 12, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat RKT KESEDAR Renok Baru, Gua Musang menyebabkan wanita berkenaan turut cedera.

Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman gambar tular dimuat naik di laman sosial mengenai tindakan tiga individu yang melapah kulit haiwan itu.

"Apa yang mereka lakukan salah di sisi undang-undang dan renjer kita sedang kesan mereka untuk tindakan selanjutnya.

"Maklumat awal kita dapati mereka adalah penduduk sekitar lokasi kemalangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain kulit, Mohd Hasdi berkata, tapir malang itu turut hilang muncung dan kakinya dipercayai dipotong individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, kertas siasatan sedang disiapkan dan pihaknya akan mendakwa mereka yang terbabit mengikut Akta Pemuliharaan Haiwan Liar 2010.

Mengikut akta berkenaan, individu disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Ini adalah kejadian kes kedua berlaku membabitkan tapir. Kejadian pertama pada 3 April lalu di Kuala Krai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 4:45 PM