Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

DUA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, atas dakwaan menawarkan rasuah kepada seorang anggota polis Julai lalu.

Tertuduh, Mohd. Shairulhafiez Mohamad Yusoff, 33, dan Syaiful Anuar Che Khair, 28, didakwa secara rasuah menawarkan suapan wang tunai RM5,000 kepada seorang anggota polis di Balai Polis Bayan Baru sebagai dorongan untuk tidak menangkap mereka kerana memiliki dadah syabu di Medan Selera Teluk Bahang, Pantai Jerejak pada 6.30 petang 26 Julai lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Tertuduh minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aini Yusof.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rais Imran Hamid dan Amin Yaacub.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Izad Buqhary, manakala Mohd Shairulhafiez tidak diwakili peguam.

Setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan pada 30 Januari hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 12:21 PM